masa ohh masa

30 April 2011

AKU NAK JADI ORANG

Petang itu cahayanya cerah. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa meniupkan pelepah-pelepah kelapa menggambarkan suasana desa kampung yang harmoni. Beberapa ekor bangau melepak bersama kerbau-kerbau di kawasan sawah padi seolah-olah memberitahu terdapatnya jalinan utuh antara mereka bersama. Pokok-pokok rambutan yang lebat buahnya menzahirkan keindahan ciptaan Ilahi.

Tanpa disedari, sebenarnya mereka semua sedang bertasbih dan memuji Allah, tanda taat kepada-Nya.

Khairul dan ayahnya sedang berehat di atas kerusi ringkas di bawah sepohon jambu yang tidak berbuah. Seperti biasa, mereka berbual-bual tentang isu semasa. Tetapi petang itu, dia ingin mengutarakan soalan yang lama terpendam dalam hati kepada ayahnya.

"Abah, Khairul nak tanya sikit boleh?", kata Khairul.

"Tanyalah", jawab ayahnya.

"Sebenarnya, Khairul tak ada cita-cita. Khairul tak tahu nak jadi bila besar nanti. Abah nak Khairul jadi apa?", kata Khairul sambil memandang wajah ayahnya menantikan sebuah jawapan.

Lantas perlahan-lahan ayahnya meletakkan tangan ke atas bahu Khairul dan berpaut padanya seperti sepasang sahabat yang sangat rapat sambil mengalirkan arus kasih sayang kepada anak sulungnya itu.

"Khairul, abah nak Khairul jadi orang. Itu saja", jawabnya ringkas.

Lantas dengan laju jari-jemari Khairul menggaru kulit kepalanya yang tidak gatal sambil mempamerkan wajah pelik kepada ayahnya tanda tidak faham dengan kata-kata ayahnya. 
Melihat Khairul begitu, ayahnya tersenyum sambil berkata, "tak mengapalah Khairul, suatu hari nanti Khairul akan faham".


Khairul tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya itu. Malam itu, dia mengutarakan soalan yang sama kepada ibunya mengharapkan jawapan yang memuaskan hatinya. Tapi, jawapan yang sama diberi ibunya.

"Mak nak Khairul jadi orang", kata ibunya.

"Memang Khairul orang pun mak", kata Khairul tanpa menyedari jarinya sudah melekat sekali lagi menggaru kulit kepala yang tidak gatal. Ibunya tersenyum melihat gelagat anak kesayangannya itu.

"Nanti khairul dah besar nanti, Khairul fahamlah tu", kata ibunya.

Beberapa hari selepas itu, berlakulah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan Khairul sampai sekarang. Sudah menjadi kebiasaan Khairul dan kawan-kawannya bermain 'kad tepuk'. 'Kad tepuk' ini merupakan sebuah permainan kanak-kanak yang berbentuk perjudian. Dengan berbekalkan duit syiling 10 sen, sepapan kad yang mempunyai pelbagai gambar di depan dan nombor kad terup di belakang dibeli.

Apabila hendak bermain, setiap pemain dikehendaki bertaruh sebanyak beberapa keping kad. Apabila 'line clear', atau tiada guru, maka berlaku pertandingan tepuk-menepuk antara mereka. Setiap kad yang bejaya diterbalikkan angin hasil tepukan, menjadi milik kekal penepuk itu. Nah, inilah bentuk-bentuk perjudian halus yang dilakukan Khairul. Tapi ketika itu, Khairul tidak tahu definasi sebenar judi kerana dia masih kanak-kanak. Malam itu, seperti biasa, ibunya ingin menyemak hasil pembelajarannya di sekolah. Tapi, kad hasil kemenangan tadi yang dijumpai.

"Aduh, habislah aku. Lupa pulak nak simpan tadi," Khairul bermonolog sendirian.

"Khairul! Apa benda ni?," tanya ibunya dengan nada marah sambil menunjukkan kad itu kepada Khairul. Khairul hanya mampu menunduk.

Lantas ibunya bangun mengambil sebatang rotan yang sederhana saiznya tapi besar impaknya dalam hidup Khairul. Jantung Khairul berdegup kencang bagaikan enjin motor ayahnya kerana takutkan rotan itu.

"Tahu tak apa ni?," tanya ibunya.

"Kad judi," jawabnya.

"Selama ni mak hantar pergi sekolah suruh belajar bukan suruh main benda ni. Tadah tangan cepat!", perintah ibunya.

Maka tangan Khairul pun dicium rotan itu tanda sayang seorang ibu yang ingin membentuk anaknya menjadi anak yang soleh.

"Ingat, mak nak Khairul jadi orang, bukan binatang", kata ibunya.

Tapi Khairul yang masih kecil ketika itu masih tidak memahami maksud ibunya. "Khairul memang orang. Bukan binatang", dia bermonolog sendirian tanda protes tapi dalam diam sahaja.

Sejak kecil lagi Khairul sudah diterapkan dengan nilai-nilai Islami. Khairul dipaksa pergi ke surau sebelum masuk waktu, membaca Al-quran setiap hari, dan macam-macam lagi. Tujuannya hanya satu, untuk melatih Khairul menjadi 'orang'. Pada mulanya Khairul tidak suka diperlakukan sedemikian rupa tapi pabila dia sudah biasa, Khairul merasa halawatul iman dan jatuh cinta kepada Islam dan Penciptanya.

Alhamdulillah, Khairul telah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan ditawarkan ke SMKA Kerian. Maka, dia terus dilatih menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

"Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini."

Itulah perinsip yang dipegang Khairul. Semakin hari, dia semakin memahami maksud kedua orang tuanya iaitu menjadi 'orang', bukan 'binatang'. Setiap hari, Khairul terus berusaha untuk majukan dirinya dengan mengimbangkan ketiga-tiga perkara ini, iaitu jasmani, akal dan roh. Dia bermain setiap petang, berusaha dalam pembelajarannya dan beribadah dengan istiqamah. Dia ingin bertawazzun (mengimbangkan) ketiga-tiga perkara ini supaya dirinya menjadi seorang muslim yang berjaya.

Tahun demi tahun berlalu, Khairul telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR. Pada suatu ketika di satu per tiga malam,dia berkhalwat seorang diri sambil bermuhasabah diri. Dia mengimbau kenangan dan dosa yang terdahulu lalu teringat pesan kedua orang tuanya yang mahukan dia menjadi 'orang'.

"Abah, mak, Khairul dah berjaya jadi 'orang'. Terima kasih banyak-banyak abah, mak, sebab didik Khairul. Khairul akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dunia akhirat. InsyaAllah." Khairul bermonolog sendirian sambil menitiskan air mata lantas berdoa.

''Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil''.


26 April 2011

UNTA MENJADI HAKIM

Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, " Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu." Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., " Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, " Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini sesungguhnya para saksi itu adalah dusta." Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, " Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, " Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w. bersabda, " Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."

Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.

16 April 2011

Wanita, dirimu begitu berharga..

Wanita.....
Dahulu dirimu tiada nilainya,
Kau ditanam jika rupamu tidak rupawan,
Kau dibesarkan jika memiliki raut wajah kecantikan
Sebagai pemuas nafsu dan barang dagangan
ketika kau dewasa kelak.....

Wanita.....
Diangkat martabatmu ke tahap tertinggi
Selepas Islam tersebar
Dipertahankan hakmu dan Islam membelamu
Dari terus dirosakkan oleh lelaki yang bertuhankan nafsu

Wanita.....
Sebaik-baik wanita adalah wanita solehah
Kau dijamin memasuki syurga terlebih dahulu sebelum suamimu,
Telah dijanjikan nikmat-nikmat yang baik untukmu
Kerana kau menjaga kesucian dan harga dirimu
Dan juga cintamu pada Tuhan-Mu

Wanita.....
Kau memiliki kelembutan
kelembutanmu mampu menggoncang dunia
Kelembutanmu mampu mencairkan dan mendamaikan para lelaki
Seperti mana damainya Firaun tatkala ditenangkan oleh Asiah
Ketika Musa ingin dibunuh olehnya(Firaun)

Wanita.....
Kau tahu dirimu begitu berharga
Kau tahu dirimu begitu bernilai
Kau juga tahu kesucianmu begitu berharga
TETAPI.....
Mengapa kau berikan mahkotamu bukan pada suamimu
Mengapa kau rela menggadaikan maruahmu kerana wang ringgit?
Adakah kau lupa?
Wanita adalah yang terbanyak sekali menghuni Neraka Allah!
Adakah kau lupa?
Janji ALLAH itu pasti ...

Wanita.....
Mengapa kau berasa takut dan malu
Selepas nafsumu dipenuhi
Mengapa baru terbit sifat malumu
Ketika kau mendapati dirimu telah hamil
Hasil perbuatan kejimu
dan kemudiannya kau mengambil jalan pintas
Menggugurkan kandunganmu,
membunuh anakmu,
membuang bayi kecilmu yang tidak mengerti apa-apa
walaupun zahirnya anak itu adalah hasil di luar pernikahan
namun...
Ingatlah
Setiap anak yang lahir di dunia ini fitrahnya adalah suci,
Ibarat kain putih yang bersih,
Ibu bapalah yang akan mencorak anak itu
Tetapi....
Hakikatnya,
Kau membuang zuriatmu,
Zuriatmu yang akan mendoakan kesejahteraanmu
ketika kau hidup, dan ketika kau sudah tiada,
Kau membuang zuriatmu di tempat-tempat yang merbahaya,
Menjadi santapan kepada haiwan-haiwan liar
yang sentiasa berkeliaran di mana-mana,

Wanita.....
Sedarlah.....
Sedarlah dari mimpi-mimpi yang tidak pasti,
Jangan kau biarkan dirimu disentuh oleh kumbang-kumbang larangan
Yang hanya ingin menghirup madumu,
Dan meninggalkanmu selepas ia merasa puas

Wanita....
Ingatlah dirimu begitu berharga
Biarlah kau dikatakan sombong
Asalkan kau tahu mana baik dan buruknya
Demi menjaga maruah dirimu
Jangan sekali kau serahkan jiwa dan ragamu
kepada kekasihmu....
kerana belum tentu ia akan menjadi suamimu....

Wanita....
Ingatlah sang lelaki amat bijak bermain kata-kata
Mereka amat bijak dalam tipu daya
Mereka akan berusaha mencapai apa yang mereka hajati
Sehingga mereka jemu dengan apa yang telah mereka rasai

Wanita..... 
Tidakkah kau sedar semua ini
Mengapa kau masih bergembira dengan kekasihmu
Tidakkah kau sedar,
Dirimu sentiasa dalam pengawasan Tuhan-Mu?

Wanita.....
Sedarlah
Jangan kau mengikut jejak Jahiliyah
Hargailah dirimu yang tinggi d sisi islam
Hargailah mahkotamu yang sangat berharga
Insaflah dengan perbuatan silammu
masih belum terlambat untuk segalanya
Kerana TuhanMu itu Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihani'

Wanita....
Labuhkanlah cintamu kepada Tuhan-Mu
kerna Tuhan-Mu akan lebih mencintaimu
dan Dia akan memberi kepadamu cinta yang sebenar.....

Wanita....
Hiasilah dirimu dan Jagalah peribadimu
Semoga dirimu berjaya menjadi wanita yang solehah
dan disayangi oleh Tuhan-Mu